Saturday, 27 December 2014

Kemudahan Baharu Di Chalet Sena Bayu 2015

Sempena kedatangan tahun baru 2015, pihak pengurusan Sena Bayu ingin memaklumkan beberapa kemudahan tambahan yang disediakan khusus kepada mereka yang memilih Sena Bayu sebagai tempat menginap. Kemudahan tambahan ini disediakan sebagai menghargai sokongan padu yang diberikan oleh pengunjung yang bercuti di Sena Bayu sebelum ini.
Kemudahan yang dimaksudkan ialah kemudahan dapur untuk memasak. Pihak pengurusan Sena Bayu mendapati rata-rata rakyat Malaysia yang bercuti bersama keluarga suka memasak di tepi pantai. Apabila aktivti memasak dilakukan maka mereka dapat menjimatkan duit perbelanjaan sewaktu bercuti. Namun apa yang lebih penting ialah aktiviti memasak dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menyedari hakikat ini maka pihak pengurusan Sena Bayu cuba sedaya upaya bagi menyediakan kemudahan yang dapat mengembirakan hati pengunjung Sena Bayu. Kami berbesar hati untuk menyediakan kemudahan ini biarpun pengunjung cuma menyewa sebuah bilik sahaja di Sena Bayu. Namun perlu diingat ialah dapur ini harus dijaga kebersihannya dan aspek keselamatan juga harus dititikberatkan bagi pengunjung yng menggunakan kemudahan ini.
Kemudahan kedua yang disediakan ialah kemudahan basikal. Kami telah menjalankan tempoh percubaan dalam penggunaan basikal di Sena Bayu selama sebulan dan rata-rata para pengunjung amat seronok menggunakan kemudahan ini. Kemudahan ini adalah seadanya oleh itu harus dikongsi dengan pengunjung lain.
Kemudahan ketiga ialah kemudahan dapur BBQ. Kemudahan ini cuma disediakan kepada pengunjung yang menyewa sekurang-kurangnya 2 bilik. Para pengunjung boleh membuat BBQ ditempat yang disediakan.
Kemudahan dapur memasak, BBQ dan basikal ini bukan hak tetapi sebagai kemudahan sampingan. Para pengunjung boleh berkongsi penggunaannya dengan pengunjung lain kecuali para pengunjung yang menyewa keseluruhan bilik di Sena Bayu untuk tujuan 'family gathering'.
Terima kasih atas sokongan anda kepada Sena Bayu selama ini. Selamat Tahun Baru 2015

Friday, 14 November 2014

Tawaran Istimewa Sempena Cuti Sekolah

Sempena cuti persekolahan hujung tahun ini Chalet Sena Bayu amat berbesar hati untuk mengadakan tawaran istimewa bagi menghargai sokongan yang diberikan oleh para pengunjung Sena Bayu.




TAWARAN ISTIMEWA RM100 SEBILIK PADA HARI ISNIN HINGGA KHAMIS SEPANJANG CUTI PERSEKOLAHAN 2014 (KECUALI CUTI UMUM)


Monday, 3 November 2014

Tempat-Tempat Menarik Di Negeri Melaka


"Tak kenal maka tak cinta," Melaka sememangnya terkenal dengan sejarah dan tempat pelancongannya yang cantik dan menarik. Oleh itu anda tidak akan rugi jika melancong ke negeri Melaka. Antara tempat-tempat menarik di Melaka ialah:-



Zoo Melaka

Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Di sini terdapat lebih dari 214 spesies haiwan boleh ditemui di Asia Tenggara dan Afrika secara semula jadi.
Zoo ini dinobatkan sebagai zoo yang terbaik di negara Malaysia. Zoo Melaka dibangunkan di atas tapak 22 ha di Ayer Keroh, dalam tahun 1963. Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka tetapi pengurusan Zoo Melaka diambil alih oleh Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam tahun 1979.
Zoo Melaka telah berkembang dan kini menjadi zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara. Ketika ini, koleksi haiwan di Zoo Melaka berjumlah 1,200 spesimen daripada 215spesis haiwan unggas, mamalia, reptilia dan amfibia. Tarikan utama Zoo Melaka adalah Badak Sumatera, harimau belang, seladang, kijang dan rusa. Jumlah pelawat adalah kira-kira 400,000 orang setahun. Waktu terbaik untuk membuat lawatan adalah di waktu pagi ketika haiwan masih aktif menunggukan masa makan. Selepas makan, haiwan akan menghabiskan masa berehat ataupun tidur.
Zoo Melaka ada menganjurkan safari malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan pengunjung melihat tabiat dan telatah haiwan sewaktu malam antara jam 8:00 - 11:30 malam.




Menara Taming Sari

Menara Taming Sari merupakan menara pandang setinggi 110 meter yang terletak di Bandar Hilir, Melaka (bersebelahan Datara Pahlawan). Menara ini dapat berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Menara ini merupakan menara berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia. Kos pembinaannya adalah sekitar RM 24 juta. Menara ini dibuka secara rasmi pada 18 aPRIL 2008. Rekaannya adalah berdasarkan reka bentuk Keris Taming Sari.
Ia mampu memuatkan sehingga 66 orang dalam satu-satu masa dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan harga tiket dewasa RM20, kanak-kanak RM10 dan warga emas RM17 seorang. Menariknya pemilik Mykad pula berpeluang mendapat potongan harga sehingga 50 % apabila menggunakan perkhidmatan ini. Menara tersebut yang dibina menggunakan kepakaran Switzerland mampu mengangkut seramai 240 penumpang dalam tempoh sejam. Satu sesi putaran akan mengambil masa kira-kira 7 minit.
Lokasi asal menara ini adalah di tebing Sungai Melaka (berdekatan Bangunan Stadthuys) namun dipindahkan di tapak baru di atas sebab tapak asal tersebut terdapat runtuhan tembok lama zaman Kesultanan Melayu Melaka selain memelihara geofak arkeologi tersebut. Di sini juga terdapat sebuah kafe yang diberi nama Taming Sari Cafe dan sebuah kedai cenderamata.




Melaka River Cruise

Alami pelayaran yang menakjubkan sejauh 9km menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit sambil menikmati pemandangan indah, bangunan dan rumah-rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia. 



Kota A Famosa

Peninggalan Penaklukan Portugis Kota A Famosa ialah landmark negeri Melaka. Kubu yang dibina oleh kerajaan Portugis pada 1511 ini kononnya kebal menahan serangan pihak lawan yang datang dari arah laut. Namun kubu ini musnah akibat serangan bertalu-talu dari pihak Belanda tetapi bahagian depan Kubu ini masih kukuh tersergam sehingga ke hari ini. Kubu A’Famosa dibina daripada blok-blok batu merah yang tidak seragam bentuknya dan di hadapan kubu ini terdapat sebilah meriam besi yang digunakan pengunjung untuk bergambar sakan.




Bangunan Stadhuys


Merahnya Dataran Belanda Bangunan Stadhuy ini dikenali sebagai bangunan merah oleh penduduk tempatan. Dibina pada tahun 1650, bangunan ini merupakan rumah rasmi Gabenor Belanda dan timbalannya. Di sekitar bangunan Stadhuys yang dipanggil Dutch Square ini terdapat gereja Christ Church yang berusia lebih 250 tahun, kolam air pancut dan sebuah kincir air seperti yang sering dilihat di negara Belanda. Bangunan Stadhuys sekarang menempat Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera untuk dikunjungi pelancong.





Jonker Street


Baba Nyonya dan Barangan Antik Peminat barangan antik dan mereka yang ingin mendalami kehidupan keturunan Baba dan Nyonya tidak boleh tidak pergi ke Jonker Street. Untuk merasai kemeriahan Jonker Street, datang pada malam Sabtu dan malam minggu kerana terdapat pasar malam yang sangat meriah. Di sini juga terdapat hotel-hotel berkonsep kehidupan Baba dan Nyonya yang boleh dicuba dan makanan popular keturunan Baba dan Nyonya seperti Ayam Pong Teh, Itek Tim dan Nyonya Laksa juga jangan dilupa. Membeli barangan antik perlu tahu tawar menawar dan jangan lupa bertanya tentang sejarahnya.




Dataran Pahlawan

Makan-Makan, Ole-Ole dan Macam-Macam Dataran Pahlawan ini attraction baru yang dibangunkan oleh kerajaan Melaka. Di bahagian atasnya terpusat tempat menjual cenderahati dan di dalam bangunan ini pula ialah pusat membeli belah yang menempatkan kedai-kedai berjenama popular. Di seberang jalan terdapat satu lagi pusat membeli belah lama yang juga masih popular iaitu Mahkota Parade. Kalau di waktu hujung minggu pasti sesak di kedua-dua mall ini.

Taman Buaya Melaka


Taman Buaya Melaka mempunyai kira-kira 100 spesies buaya dari serata dunia yang dipelihara dalam suasana yang hampir menyamai habitat semulajadi mereka.Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan dan pertunjukan yang dipersembahkan oleh penjaga buaya ini pada setiap hari Sabtu. Pertunjukan yang mendebarkan ini pasti akan membuatkan anda tidak senang duduk.

Tarikan terbaru di Taman Buaya yang menjadi salah satu tarikan utama kepada pengunjung ialah  Taman Permainan Air. Terbuka kepada semua dan ia mempunyai keluasan 6000 kaki per segi dan kedalaman diantara 1.5'  dan 2.5'.Tarikan lain di taman ini termasuklah rumah hantu dan pelbagai kemudahan rekreasi yang lain.



Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah dan bersempadan dengan Port Dickson, Negeri Sembilan. Ianya tidak jauh dari bandar Melaka, iaitu kira-kira 20 minit menaiki bas. Pantai ini adalah kawasan rekreasi yang baru dibangunkan untuk memenuhi keperluan kemudahan kawasan rehat untuk sekeluarga. 


Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti berkelah, menaiki bot, bermain layang-layang dan berenang (risiko adalah tanggungan sendiri). Terdapat juga perkhidmatan menunggang kuda, tetapi caj dikenakan.


Setiap pagi, ramai penduduk dari kawasan sekitar datang ke pantai ini untuk menangkap udang geragau (sejenis udang halus) yang banyak terdapat di sini, terutamanya pada bulan Ogos hingga Oktober. Ini adalah kerana aktiviti ini bermusim mengikut tiupan angin monsun.Geragau sangat popular di Melaka terutamanya untuk dibuat belacan dan cencaluk. 

Sementara itu, pada setiap hari Ahad dari 4.30 petang ke 6.30 petang terdapat persembahan “Dondang Sayang” percuma.Banyak gerai-gerai makanan dan buah-buahan disepanjang pantai untuk kemudahan para pengunjung mendapatkan hidangan tanpa bersusah payah membawa bekal. Suasana di pantai ini menjanjikan kedamaian untuk anda melepaskan tekanan diri dan mendapatkan ilham baru.



Taman Rama-rama & Reptilia

Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi di kawasan Ayer Keroh adalah Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka yang menjadi tempat tinggal berbagai spesies rama-rama dan reptilia. 

Selain rama-rama, yang merupakan hidupan utama di sini, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai jenis reptilia termasuk ular, labah-labah, kala jengking dan ratusan jenis serangga yang pastinya akan membuatkan pengunjung merasa geli geleman.

Menyaksikan reptilia ini secara dekat, terutamanya ular, tentunya akan membuatkan pengunjung lebih memahami kehidupan dan habitat binatang yang seringkali disalah anggap ini.

Disalin dari blog Destinasiku.

Monday, 27 October 2014

Panduan Untuk Mereka Yang Gemar Melancong Dan Mengembara.

Dengan perkembangan Internet dan promosi kapal terbang tambang murah, semakin ramai yang memilih untuk mengembara secara berseorangan. Panduan berikut dapat membantu golongan pengembara terutamanya wanita apabila ingin bercuti di negara asing.

 1. Bersikap realistik mengenai risiko dan sebarang kemungkinan membantu anda bersedia apabila ditimpa musibah di negara asing. Elakkan tiba di destinasi pada waktu malam. Jika perkara ini tidak dapat dielakkan, buat tempahan penginapan dengan pengangkutan pergi-balik lebih awal. Pastikan anda memiliki wang secukupnya bagi mengelak terpaksa singgah di mesin teler automatik dengan pemandu teksi yang baru dikenali. Jangan mempercayai rakan baru secara membuta tuli, sebaliknya sentiasa menempah teksi atau bas menerusi kaunter khas di lapangan terbang.

2. Apabila keluar bersiar-siar, perhatikan papan tanda, mercu tanda atau nama jalan. Waspada dengan gelagat orang di sekeliling. Hati-hati sekiranya anda melihat lelaki sama berada di setiap destinasi anda kerana anda mungkin menjadi sasaran geng penjenayah.

Jika dipelawa untuk bersembang sambil minum dengan lelaki baru ditemui, tolak secara berhemah dan jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti penginapan. Paling penting, jangan sesekali beritahu anda melancong secara solo.

3. Berpakaian perlu mengikut norma dan batasan tertentu mengikut budaya setempat. Aspek ini walaupun kelihatan remeh tetapi dapat mengelakkan anda menjadi tumpuan sekiranya berada di kawasan luar bandar dengan penduduk yang agak konservatif.

Selain itu, ia menunjukkan anda peka dan hormat terhadap pegangan agama dan budaya walaupun sedang menikmati percutian bersama rakan. Ia juga boleh mengelak seseorang daripada menjadi mangsa gangguan seksual.

4. Tinggalkan barangan berharga dalam peti keselamatan di hotel. Jika perlu bawa salinan pasport dan kad pengenalan ketika bersiar-siar. Paling utama, jangan memakai barangan perhiasan seperti cincin atau rantai kerana ia hanya mengundang bahaya.

Ini kerana di negara tertentu, penjenayah sanggup memotong tangan hanya untuk mendapatkan cincin emas, manakala ada juga kes ragut yang berlaku dalam pengangkutan awam yang sesak seperti bas atau kereta api.

5. Sentiasa bersedia untuk berkenalan dengan pengembara lain dapat memudahkan perjalanan anda. Ini membantu sekiranya anda mengunjungi negara dengan kekangan bahasa seperti India atau China.

Panduan yang diperoleh daripada rakan kembara dapat membantu anda memahami budaya setempat atau setidak-tidaknya menolong dalam mencari penginapan dan restoran halal berdekatan hotel.

Selain itu, jika bertuah, anda dapat menyertai kumpulan pengembara, sekali gus menjimatkan kos apabila pengangkutan atau tiket masuk untuk ke tarikan pelancongan seperti taman tema.


Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2010/05/panduan-melancong-dan-mengembara.html#ixzz3HQ0zt7AX

Monday, 13 October 2014

Sembang Buku Di Sena Bayu

Buat julung kalinya dua buah novel akan disembangkan secara santai di Chalet Sena Bayu. Novel yang terpilih ialah Novel Naratif Ogonshoto hasil karya Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridwan serta Novel Suara Tengah Malam hasil karya Maria Kajiwa. Sembang buku ini akan dijayakan oleh ahli-ahli Ikatan Persuratan Melayu. Acara dwibulanan ini akan dijalankan pada 18 Oktober 2014 (Sabtu). Selepas acara sembang buku ini dijalankan akan menyusul pula acara deklamasi sajak. Tema sajak yang dipilih ialah mengenai keindahan pantai. Kepada mereka yang ingin turut serta dalam acara ini boleh menghubungi pihak pengurusan Sena Bayu atau SU IPM.











Saturday, 13 September 2014

Pantai Hadapan Sena Bayu



Kemudahan di sena bayu

terdapat 6 bilik disediakan di Sena Bayu. 5 bilik tersedia dengan katil queen manakala 1 bilik mengandungi 2 katil single. keluasan setiap bilik lebih kurang 12x12. setiap bilik mengandungi kemudahan bilik air tersendiri. setiap bilik mengandungi kemudahan aircond, water heater, kipas, 1 set kerusi rehat, almari pakaian dan ampaian baju. 2 helai tuala mandi turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Monday, 1 September 2014

Salam Pembuka Bicara

Alhamdulillah akhirnya impian untuk membuka Sena Bayu menjadi kenyataan. Sena Bayu merupakan chalet tepi pantai yang mengadap Selat Melaka. Chalet ini mengandungi 6 bilik untuk disewa. Dengan keluasa setiap bilik dianggarkan 12 kaki X 12 kaki, para pengunjung bebas menginap dalam keadaan selesa. Menginap di Sena Bayu merupakan pengalaman yang luar biasa kerana pengunjung dapat menikmati alunan ombak dari bilik dan dapat menyaksikan laut dari jendela. Pantai di hadapan Sena Bayu redup kerana dinaungi oleh pohon sena yang berusia sekitar 90 tahun. Pengunjung bebas membuat aktiviti mandi manda, memancing, menangkap remis atau berjoging, berbasikal dan duduk santai di hadapan laut. Sena Bayu terletak di hadapan laut bersebelahan dengan SK Al Falah atau lebih tepat lagi di Kampung Hilir Kuala Sungai Baru, Melaka. Kedudukannya cuma 4 minit dari Akademi Laut Malaysia (ALAM), 3 minit dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) atau 3 minit dari Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru. Kepada mereka yang ingin menikmati percutian yang sungguh menenangkan boleh menghubungi 016-2180423 (Razak) atau email : razak_adam07@yahoo.com.